Miliki ARMA

Miliki ARMA
Memaparkan catatan dengan label unit dakwah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label unit dakwah. Papar semua catatan

PEDOMAN BAGI MENDAPAT KEREDHAAN TUHAN. bil-3




Menggantung Harapan Kepada Allah S.W.T.

Wahai sahabatku yang mulia, beramal dan sembahlah Tuhanmu dengan sepenuh tenaga sehingga engkau telah mengambil segala penyebab yang boleh mendekatkan dirimu kepada Allah S.W.T. dan engkau telah menjauhi setiap maksiat dan kesesatan sehingga engkau merasa letih, buntu dan lemah untuk melepaskan dirimu, dan engkau tinggalkan dari melihat amalan-amalanmu lantaran perasaanmu merasa bahawa amalan-amalan tersebut tidak dapat melepaskan engkau, dan engkau berlepas diri dari bersandar di atas dirimu, maka engkau pun menghadap kepada Allah S.W.T. semata-mata dengan sepenuh jiwa ragamu dan engkau mula bergantung kepadaNya dengan sepenuh pergantungan.

Tetaplah di atas hal itu sehingga engkau sampai pada bab idhtirar dan inkisar. Ia adalah pintu pertama bagi engkau mengenal keagungan Allah S.W.T. dan permulaan perjalananmu kepada Tuhanmu dengan sebenar-benar jalan. Allah S.W.T. menjadikan melalui pintu ini sebagai syarat bagimu dan setiap orang yang ingin menuju kepada Tuhan sepertimu, agar Dia memperkenalkan kepadamu siapakah Dia dan siapakah kamu. Maka Dia adalah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Berkuasa dan engkau pula adalah hamba yang hina, tidak berdaya melepaskan dirimu dari apa yang tidak engkau sukai. Maka dengan sebab itu engkau dapat mengenali Tuhan yang menjadi tujuanmu itu lantas engkau dapat menjaga adab sepanjang perjalanan keimanan dan makrifah itu. Bagaimanakah akan dapat masuk ke dalam majlis raja orang yang tidak ada padanya adab susila dan bagaimanakah dapat benar-benar beradap susila orang yang tidak mengenali keagungan Tuhannya dan pemiliknya.

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Haj ayat 72 yang bermaksud :

72. Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami Yang jelas nyata, Engkau akan dapat melihat pada muka orang-orang Yang kafir itu tanda marah dan benci, hampir-hampir mereka hendak menerkam dan menyerang orang-orang Yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika demikian, Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu: Yang lebih buruk lagi daripada apa Yang telah menyebabkan kemarahan kamu itu? ialah neraka Yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang-orang Yang kafir, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali! "

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Haj ayat 74 yang bermaksud :

74. Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut penghormatan Yang selayaknya (sebagaimana Yang ditetapkanNya); Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Permulaan Mengenal Keagungan Allah S.W.T.

Wahai saudaraku yang mulia, engkau dalam keadaan yang keadaan yang diharapkan mendapat penerimaan Allah S.W.T. lantaran Allah Azza Wa Jalla itu melayan hambaNya menurut setakat kejujuran hambaNya, maka tidaklah akan jadi berkeadaanjujur seseorang yang ingin menuju kepada tuhannya sehinggalah dia telah bersinsing lengan dalam ibadatnya kepada tuhannya, dan telah mengambil semua sebab untuk sampai kepada keredhaan Tuhannya, dan dia telah merasakan dirinya lemah dan tidak berdaya lantas dengan itu dia pun masuk ke dalam bab idthirar dan inkisar, lalu mulalah Ar-Rahman dengan rahmatNya campurtangan ke atas usaha dirinya, dan lagi kerana Ar-Rahman tidak akan membiarkan diri orang yang sedang terdesak tanpa pertolonganNya, dan lagi orang yang terdesak itu tidak lain adalah dalam keadaan yang jujur pada permohonannya. Maka apabila itu semua telah tercapai pada dirimu maka ia adalah keadaan di mana diharapkan berlakunya sambutan dan penerimaan Allah S.W.T. ke atas usaha dirimu selama ini.

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah An-Naml ayat 62 yang bermaksud :

62. Atau siapakah Yang memperkenankan doa orang Yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan Yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat Yang telah lalu) mendiami dan Menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan Yang lain bersama-sama Allah? amat sedikit di antara kamu Yang mengingati (Nikmat Allah itu).

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-A’raaf ayat 56 yang bermaksud :

56. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan Segala Yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya Dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga Dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang Yang memperbaiki amalannya.

Di dalam sebuah hadith Qudsi Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud: Aku adalah munurut sangkaan hambaKu terhadap diriKu.

Apabila engkau telah ketahui hakikat ini maka ingatlah bahawa bab idhtirar dan inkisar tersebut adalah pintu yang masuk darinya setiap kekasih Allah S.W.T. dan setiap para solihin ke dalam hamparan rahmat dan makrifah. Maka sesiapa yang berusaha masuk bukan dari pintunya yang sebenarnya maka tidaklah dapat dijamin akan keselamatan dirinya.

Kesan Mengenal Keagungan Allah S.W.T. Kepada Muslim

Sesungguh turunnya rahmat Allah ke atas dirimu yang mana rahmat itu pula mempunyai pintu-pintu yang tersangat banyak, adalah sebab yang akan membawa kelapangan kepada hatimu dan ketenangan lantaran dari turunnya rahmat itu engkau benar-benar telah dapat mengetahui bahawa Allah S.W.T. telah menjawab panggilanmu dan mendengar permohonanmu selama ini, dan dengan jawapan itu engkau dapat merasakan hampirnya Allah S.W.T. kepadamu dan bahawa Allah S.W.T. bersama denganmu.

Firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:

186. Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Maka hendaklah engkau bersyukur kepada Allah S.W.T. dan sentiasa bertaqwa dan memelihara adab pada setiap waktu dan tempat kerana sesungguhnya bersyukur itu adalah sebab bagi berkekalan dan bertambahnya nikmat.

nantikan sambungannya......


Disediakan oleh,

Unit Dakwah & Pembangunan Insan,

Dewan Perwakilan Mahasiswa Shibin El-Kom,

Sesi 2009/2010.




Baca Seterusnya...

perutusan U.D - Ramadhan Karim




Ramadhan Al-Mubarak telah kembali

Alhamdulillah, segala puji kepada tuhan Rabbul Jalil.
Firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:-
Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Sahabat yang dirahmati sekalian:
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketaqwaan, kita menjadi insan yang soleh dan contoh tauladan yang terbaik kepada keluarga dan masyarakat serta diredhai oleh Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al Baqarah ayat 185 yang bermaksud :-
(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Ramadhan merupakan satu bulan yang merupakan bulan paling mulia dari seribu bulan. Ramadhan juga merupakan bulan untuk memperbaiki amalan kita setelah hampir setahun kita bergelumang dalam keadaan dosa. Disamping itu juga, Ramadhan adalah bulan bagi kita untuk mendidik atau mentarbiah hawa nafsu yang telah lama bermaharajalela di dalam diri. Hawa nafsu yang mana telah merosakan kita selama hampir setahun didalam keadaan maksiat dan dosa.

Ramadhan yang sebelumnya disusuri oleh dua bulan yang mulia iaitu bulan Rejab dan Syaaban telahpun kita laluinya dengan pelbagai sunnah yang dianjurkan oleh Islam. Antara acara yang telah kita laluinya dalam dua bulan ini adalah seperti berpuasa sunat didalam dua bulan tersebut, sambutan isra’ mi’raj dan juga nisfu syaaban. Namun dalam kesibukan kita dalam mengejar duniawi, ada dikalangan kita yang masih tidak dapat menyambutnya dengan amalan-amalan seperti yang disebutkan tadi. Tetapi kedatangan Ramadhan merupakan talian hayat yang terakhir bagi kita melakukan sebanyak mungkin amalan-amalan ibadat yang di Redhai oleh Allah S.W.T.

Kedatangan Ramadan kali ini, perlu diambil peluang seluas-luasnya oleh setiap insan beragama Islam, baik lelaki mahupun perempuan, kerana bulan Ramadan disifatkan oleh sesetengah para ulama sebagai bengkel, iaitu bengkel yang dapat menghilangkan tompok-tompok hitam yang masih melekat pada hati manusia sebelum menjelang Ramadhan, serta mengetatkan skru-skru lutut yang longgar, kerana tidak berapa pentingkan tarbiah di rumah Allah, sama ada masjid atau surau.

Dibulan Ramadhan juga terdapat solat sunat tarawih yang merupakan kelaziman kita melakukannya sepanjang bulan ini. Terdapat pelbagai ganjaran yang dijanjikan oleh Allah melalui setiap malam-malam yang kita lalui sepanjang bulan Ramadhan ini. Ramadhan juga telah dijanjikan oleh Allah akan menurunkan satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam yang dijanjikan oleh Allah itu adalah malam Lailatul Qadar.
Firman Allah subhanahu wa taala Surah Al Qadr ayat 1 hingga 5, yang bermaksud:-
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
2. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?
3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut);
5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Saudaraku yang dikasihi sekalian:
Kita tidak mahu menjadi seperti manusia yang beranggapan bahawa Allah S.W.T. hanya wujud pada bulan Ramadan, sedangkan pada bulan-bulan sebelum dan selepas Ramadan batang hidung pun tidak kelihatan di rumah Allah, ini kerana di rumah Allah S.W.T. apabila kita menjadi tetamu-Nya, banyak juadah rohani disediakan yang tidak ada di tempat-tempat lain, akhirnya diri kita ini dinaik-tarafkan setelah menjadi orang Islam kepada orang beriman dan kemuncaknya ialah orang yang bertakwa.

Dengan dinaikkan taraf orang yang bertakwa, sudah tidak menjadi masalah untuk sentiasa bertaubat dari segala kesalahan yang besar dan yang kecil, kerana selagi mana kita bernama manusia, kita terdedah kepada melakukan dosa, sama ada yang besar ataupun yang kecil. Bulan Ramadan yang disebut oleh baginda Rasulullah S.A.W. ,terdapat di dalamnya keampunan Allah, ….mengapa kita perlu memohon keampunan-Allah?.... Tidak lain kerana terlalu banyak dosa yang dilakukan, sama ada yang disedari atau sebaliknya. Antara dosa besar yang kita lakukan adalah tidak pernah melaksanakan hukum-hakam Allah dalam al-Quran, malah kita tukarkannya dengan undang-undang ciptaan manusia.
Sehubungan itu, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi ada menegaskan, bahawa ramai di kalangan manusia tidak sedar terjebak dalam melakukan dosa dan maksiat, terutamanya yang dilakukan oleh pancaindera yang zahir (luaran) seperti dosa tangan, kaki, mata, telinga, lidah, hidung dan sebagainya termasuk dosa perut dan kemaluan.
Dosa tangan ialah dengan melakukan kecurian atau mengambil hak orang lain secara paksa, dosa kaki iaitu berjalan menuju tempat yang ditegah oleh agama seperti tempat pelacuran dan sebagainya. Dosa mata melihat kepada yang diharamkan oleh Allah seperti melihat aurat orang lain, dosa telinga melalui pendengaran kepada perkara mengumpat dan sebagainya, dosa lidah dengan mengutuk orang lain atau memfitnah, dosa hidung dengan menghidu sesuatu yang diharamkan Allah, dosa perut memakan makanan yang diharamkan atau sumber riba dan dosa kemaluan dengan melakukan perbuatan zina.
Tetapi sebahagian besar daripada mereka lupa dan mungkin tidak mengetahui sedalam-dalamnya dosa serta maksiat yang dilakukan oleh hati, sedangkan dosa hati adalah lebih bahaya daripada dosa-dosa di atas, ini kerana hati seseorang itu boleh terjebak pada niat yang serong daripada agama, tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu kebaikan dan yang lebih parah lagi terlibat pada syirik, riyak, bangga diri, cinta pada dunia, kufur (ingkar kepada hukum Allah), hasad dan banyak lagi.

Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata:
Rasululllah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.
-Hadis riwayat imam Bukhari,dan Muslim.


Saudaraku yang dirahmati Allah S.W.T. :-
Secara jelasnya, bahawa tujuan puasa yang hendak diperjuangkan adalah untuk mencapai ketakwaan. Dalam rangka memahami tujuan tersebut maka perlu digariskan beberapa hadis dari Nabi S.A.W. Misalnya hadis yang bermaksud, "Banyak di antara orang yang berpuasa tidak memperoleh sesuatu dari puasanya, kecuali rasa lapar dan dahaga." Ini bererti bahawa menahan diri dari lapar dan dahaga bukan tujuan utama dari puasa. Maka apa yang dimaksudkan oleh hadis tersebut adalah tujuan yang utama dalam konsep berpuasa adalah ibadat yang dikerjakan oleh individu tersebut kepada Allah S.W.T .

Adapun mempersiapkan diri bagi menghadapi Ramadhan itu ialah membersihkan rohani dan jasmani dari sebarang ingatan dan sangkaan jahat serta buruk terhadap Allah SWT dan hukum-hukumnya, kepada rasul-rasul dan sunnah-sunnahnya dan terhadap sesama muslim dan hamba Allah seterusnya terhadap makhluk-makhluk Allah seluruhnya. Seseorang itu juga perlu bersihkan diri daripada perkara-perkara mungkar serta mengelakan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT.

Jesteru itu, Ada beberapa perkara penting dalam mempersiapkan diri bagi menyambut Ramadhan Al Mubarak di antaranya ialah;
Yang pertama – Hendaklah merenungi diri agar sedar dan insaf akan kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan selama ini dengan sengaja sehingga terjadinya dosa bagi dirinya. Kemudian diiringi dengan taubat dan beristiqhfar memohon ampun kepada Allah atas segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan selama ini. Agar dapatlah ia memasuki bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah dan bulan suci itu dengan dirinya yang suci.
Yang kedua – hendaklah ada ingatan yang baik terhadap dua ibubapa dengan memperelokan hubungan silaraturrahim dan melakuan sesuatu yang mengembirakan dan menyenangkan hati mereka atau melakukan sesuatu yang menjadi kebajikan dan pahala untuk mereka,seperti bersedekah dan sebagainya jika mereka sudah meninggal dunia.
Yang ketiga- hendaklah memperelokan hubungan dan pergaulan dengan keluarga,jiran tetangga dan dengan sesama manusia. Agar segala salah silap,silang sengketa,bergaduh dan berkelahi dapat dilupakan dengan bertemu ,bermesra dan bermaaf-maafan serta menjaga hubungan hingga masa hadapan.
Oleh yang demikian ,marilah kita sama-sama mengambil peluang Ramadhan kali ini dengan mempertingkatkan amalan-amalan ibadat serta meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah SWT disamping kita menjaga kemuliaan Ramadhan Al Mubarak ini.
Semoga sekelumit coretan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.
“Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dari warga kerja Unit Dakwah & Pembangunan Insan DPMS.”





Disediakan oleh,
Unit Dakwah & Pembangunan Insan,
Dewan Perwakilan Mahasiswa (M’sia) Shibin El-Kom,
Sesi 2008/2009.

Baca Seterusnya...

liqa' azhari



majlis anjuran mampat (persatuan tahun empat) dan UD -unit dakwah dan pembangunan insan. semoga majlis yang dianjurkan berjalan lancar dan mendapat sambutan dari pelajar tahun akhir.


Baca Seterusnya...

PEDOMAN BAGI MENDAPAT KEREDHAAN TUHAN. bil-2






Jangan Bertangguh Dari Beramal

Berdirilah dengan kakimu utuk beramal dan janganlah engkau bertangguh dan melewat-lewatkan untuk beramal kerana bertangguh dan melewatkan itu aka nmendedahkan hatimu kepada kelalaian dan keras hati serta berkemungkinan terlepas peluang dari yang telah disediakan oleh Allah S.W.T. firmanNya di dalam Surah Al-Hadid, ayat 16 yang bermaksud :

Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah S.W.T. dan kepada kebenaran yang telah turun kepada mereka, dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah ditrunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang ata mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang -orang yang fasik.



Jangan Mengekalkan Perbuatan Maksiat

Ketahuilah wahai saudaraku yang mulia, bahawa sesungguhnya bahawa maksiat yang berterusan itu akan melemahkan pengaruh ketaatanmu dan memadamkan cahayanya di dalam hatimu. Oleh itu, berbuat maksiat beserta taat akan mencegah engkau dari menuju kepada Allah S.W.T. Maka jauhilah dengan bersungguh-sungguh mencegah dari segala maksiat dan kesesatan sekiranya engkau benar-benar jujur dalam memperhambakan dirimu kepada Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah S.A.W. :
Dibentangkan fitnah ke dalam hati seperti hamparan sedikit demi sedikit. Maka mana-mana hati yang menerimanya akan dititik pada hati itu satu titik hitam, dan yang menolaknya akan dititik pada hati itu suatu titik putih sehinggalah ia menjadi dua jenis hati : Hati yang putih umpama batu yang licin yang tidak membahayakannya lagi sebarang fitnah di langit dan di bumi, dan satu lagi hati yang hitam keputihan umpama bekas air yang terbalik tidak lagi mengenali kebaikan dan tidak lagi menolak keburukan selain apa yang disukai oleh hawa nafsunya.

Jangan Suka Berbantah-bantah

Wahai saudaraku yang mulia, janganlah engkau berselisih mengenai rupa ibadat sedangkan engkau di dalam mencapai maknanya lalai, sebaliknya berlumbalah engkau di dalam rupa ibadat tunduk dan taat. Ingatlah kepada Sabda Rasulullah S.A.W. : tidak kembali sesat sesuatu kaum itu selepas diberi petunjuk oleh Allah S.W.T. melainkan orang yang mempunyai kesukaan berbantah.

Wahai saudaraku yang mulia, berpindahlah dari rupa ibadat kepada makna ibadat, bukan hanya dari suatu rupa kepada suatu rupa yang lain sahaja. Berzikir dan berjihad adalah dua rupa ibadat dari berbagai-bagai rupa ibadat, akan tetapi makna teringgi yang tekandung dalam kedua-duanya itu adalah sama sahaja: Iaitu mencapai perasaan takut dan gerun kepada Allah S.W.T. semata-mata. Firman Allah S.W.T. di dalam Surah At-Taubah ayat 13 : Adakah kamu takut kepada mereka padahal Allah lah yang berhak kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman.

Berkata Al-Qasimi Rahimahullah :
Sesungguhnya iman yang sebenar ialah seorang mukmin itu tidak takut melainkan tuhannya sahaja.

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Maidah ayat 54 yang bermaksud : Yang berjihad pada jalan Allah dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela,

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Ahzab ayat 39 yang bermaksud : Orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepadaNya dan mereka tidak merasa takut kepada seorang pun selain Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pemberi pertolongan.

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah At-Taubah ayat 18 yang bermaksud : Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut kepada sesiapapun selain Allah. Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Sabda Rasulullah S.A.W. :
Perbanyakkanlah menyebut zikrullah sehingga orang ramai menuduh engkau gila.

Nantikan sambungannya…..

Disediakan oleh,
Unit Dakwah & Pembangunan Insan,
Dewan Perwakilan Mahasiswa (M’sia) Shibin El-Kom,
2008/2009.

Baca Seterusnya...

PEDOMAN BAGI MENDAPAT KEREDHAAN TUHAN

Permulaan Mendapat Hidayah

Wahai sahabatku yang mulia, tatkala engkau mula merasakan keinginan untuk kembali kepada Allah Rabbul Jalil dan engkau mula membenci apa yang sedang engkau lalui dari kedurhakaan dan kelalaian mengingati Allah S.W.T., maka yang demikian itu adalah dengan sebab suatu pembangkit berupa cahaya yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T. ke dalam hatimu sebagai rahmat dan belas kasihan dariNya kepadamu.

Maka hendaklah engkau segera menyambut kedatangan yang mulia itu dengan engkau kembali kepada Allah S.W.T. dan engkau bertaubat kepadaNya dari segala dosa yang lalu serta engkau jujurkan tawajjuh engkau kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-An'am ayat 125 yang bermaksud :
Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa Yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang Yang tidak beriman.
Berlaku Taat Kepada Allah S.W.T.

Bersungguhlah engkau di dalam melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T. pada setiap gerak-gerimu, dan ambillah setiap penyebab yang boleh mendekatkan engkau kepada Allah S.W.T. dan mendapatkan redhaNya. Dan semua itu, hendaklah engkau lakukan dengan bersungguh-sungguh untuk melepaskan dirimu dari kedurhakaan dan dari segala perkara yang dimurkai Allah S.W.T. dan kebencianNya.

Asas untuk membentuk ketaatan tersebut:

Engkau mengenali tuhanmu dengan pengenalan aqliyah yang betul dan engkau meninggalkan segala perkara yang mendedahkan engkau kepada syirik. Rasulullah S.A.W. pernah berpesan, amalan yang paling disukai oleh Allah S.W.T. untuk seorang hamba mendekatkan diri denganNya ialah amalan yang telah difardhukan ke atasnya. Aqidah tauhid yang telah ditetapkan adalah sebesar-besar kefardhuan dan kurnia untuk semua hambaNya.

Firman Allah S.W.T. di dalam surah An-Nahl ayat 36 yang bermaksud:
Telah hampir datangnya janji Yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu minta disegerakan. Maha suci Allah dan Maha Tinggilah ia dari perbuatan syirik Yang mereka lakukan.


Firman Allah S.W.T. di dalam surah An-Nisa' ayat 48 yang bermaksud :
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa Yang lain dari itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa Yang besar.


Hendaklah engkau menunaikan segala yang wajib atasmu dan segala fadhu Ain kerana Allah S.W.T. tidak mentaklifkan engkau dengan sesuatu dari kefardhuan itu melainkan ialah untuk mengubati hatimu dan engkau selesai mengerjakan amalan-amalan itu dalam keadaan hati yang sejahtera dari segala penyakit.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
Perumpamaan sembahyang lima waktu adalah seperti sungai yang bersih lagi mengalir di depan pintu rumah seorang dari kamu, kamu mandi di dalamnya setiap hari sebanyak lima kali, maka adakah kamu dapati dari perbuatan itu akan masih berkekalan kotorannya? mereka menjawab : tidak akan kekal sesuatu apa pun. Sabda Rasulullah S.A.W. : Solat lima waktu itu menghilangkan dosa-dosa seperti air itu menghilangkan kotoran.

Hendaklah engkau mengamalkan amalan sunat sekuat kemampuan kerana ia adalah sebab yang akan mendatangkan kasih Allah S.W.T. kepadamu.


Sabda Rasulullah S.A.W. :
Berkata Allah S.W.T. tidak ada perbuatan mendekatkan diri kepadaKu oleh orang-orang yang mendekatkan diri itu dengan amalan yang seumpama apa yang Aku telah fardhukan ke atas mereka, dan sentiasalah seorang hamba itu mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan-amalan yang sunat sehingga Aku mengasihinya.


Zikir-zikir Ma'thur

Wahai sahabatku yang mulia, hendaklah engkau perbanyakkan memohon keampunan dari Allah S.W.T. kerana sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda:

Sesungguhnya seorang hamba apabila dia melakukan satu dosa akan terjadilah satu titik hitam di dalam hatinya, maka sekiranya dia bertaubat maka akan terhapuslah titik hitam itu dari hatinya, dan sekiranya dia menambah perbuatan dosa itu maka akan bertambahlah titik hitam itu, maka itulah dia maksud Firman Allah S.W.T.:

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang mereka selalu usahakan itu menutupi hati mereka.

Hendaklah engkau perbanyakkan mengucap selawat ke atas Rasulullah S.A.W. kerana sesungguhnya yang demikian itu adalah sebab bagi turunnya rahmat Allah S.W.T. kepadamu.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah S.W.T. akan berselawat dengan sebab selawat itu keatasnya sepuluh selawat.


Firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Ahzab ayat 43:
Dia lah Yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya Yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah ia sentiasa melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang Yang beriman (di dunia dan di Akhirat).


Hendaklah engkau sentiasa memperbaharui imanmu dengan membanyakkan sebutan "Lailahaillallah" (Tiada tuhan selain Allah) kerana sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda:

Hendaklah kamu perbaharui iman kamu. lalu ditanya: wahai Rasulullah S.A.W., bagaimanakah kami memperbaharui iman kami? Sabda baginda S.A.W. : perbanyakkan kamu menyebut "Lailahaillallah" (Tiada tuhan selain Allah).


Hendaklah engkau sentiasa membaca Al-Quran dengan engkau memelihara adab-adab membacanya lantaran Al-quran itu adalah cahaya petunjuk dan penyembuh bagi penyakit hati.

Firman Allah S.W.T. di dalam surah Yunus ayat 57 :
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran Yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan Yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin Yang ada di Dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang Yang beriman.


Kesemua empat perkara ini hendaklah berterusan dilakukan oleh setiap orang yang ingin menuju kepada Tuhannya sebagai pengabdian kepada Allah S.W.T. dan sebagai mengharapkan kebaikan yang terkandung di dalamnya dari faedah yang sangat besar pada memperbaiki hati dan mempercahayakannya.

Nantikan sambungannya…..

Disediakan oleh,
Unit Dakwah & Pembangunan Insan,
Dewan Perwakilan Mahasiswa (M’sia) Shibin El-Kom,
2008/2009. Baca Seterusnya...