Miliki ARMA

Miliki ARMA

Mencerlang Karisma Muslimah

Mencerlang karisma muslimah adalah merupakan laungan keramat bagi golongan yang bergelar mahasiswi srikandi Islam supaya mereka menyedari hakikat diri yang sebenarnya. Kedatangan Islam pada 14 abad yang lalu telah membawa satu revolusi kepada kaum hawa dari pelbagai sudut bidang kehidupan, namun pada awal abad kini, golongan muslimah sering dipertikaikan kononnya disebabkan kejumudan yang di bawa oleh Islam. Persoalannya di sini, adakah Islam menghalang kaum hawa untuk mencerlang diri mereka bagi berhadapan dengan masyarakat ataupun sebaliknya?.
Jawapannya adalah semestinya Islam ingin mencerlangkan karisma muslimah. Mencerlang bermaksud di dalam kamus dewan adalah mengilap dan karisma diterjemahkan di sini kualiti ataupun daya kepimpinan. Manakala muslimah bermaksud wanita Islam. Untuk merealisasikan tema ini, akan dilakarkan beberapa item penting sebagai satu bentuk modal insan dalam pembangunan diri muslimah.

Seharusnya seorang muslimah perlulah menyemarakkan thaqafah dan tarbiyah sebagai senjata utama bagi mereka. Hal ini demikian, kerana telah bermula era peperangan pemikiran (ghuzwatul fikr) yang telah disadurkan oleh kuffar untuk mengaburi dan mengelirukan masyarakat dunia terhadap Islam dan ini memerlukan persediaan yang rapi oleh golongan muslimah untuk menerobos segala dakyah yang mereka ciptakan. Islam juga telah menekankan konsep thaqafah dan tarbiyah sepertimana firman Allah Taala yang berbunyi:

Maksudnya : “ Allah s.w.t mengangkat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang menuntut ilmu dengan beberapa darajat “.
(Al-Mujadalah ayat 11)

Sensitiviti dan prihatin terhadap keluarga, masyarakat serta persekitaran adalah salah satu item yang penting juga bagi seorang muslimah. Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya: “ Berikanlah peringatan kepada kaum keluarga kamu yang terdekat"
(As-Syua'ra ayat 214)

Sebagai seorang muslimah, kita tidak boleh membiarkan keluarga dan masyarakat terbiar kulai tanpa mengetahui keizzahan Islam. Individu muslimah perlu menjadi pembela dan role model kepada masyarakat Islam. Contohnya seperti kes penghinaan seorang artis ke atas isteri junjungan besar Rasulullah S.A.W, sewajarnya muslimah terlebih dahulu bangkit kehadapan menyuarakan pembelaan mereka terhadap isteri Rasulullah yang tercinta.

Selain daripada itu, seorang muslimah perlu menjiwai roh kepimpinan yang mempunyai visi dan misi untuk membangunkan ummah. Mereka tidak seharusnya bersikap mengharap kepada kaum adam semata-mata dalam berhadapan era goblalisasi ini. Keperluan muslimah dalam memimpin dan membawa ummah kepada kebaikkan telah termaktub di dalam kalamullah yang berbunyi:

Maksudnya:" Dan orang-orang yang beriman lelaki-lelaki dan perempuan sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain"
(at-Taubah ayat 71)

Kesimpulannya di sini, dapat diperjelaskan bahawa seorang muslimah pada hari ini adalah untuk hari esok. Mereka perlulah bersedia dengan mencerlangkan karisma mereka dari semasa ke semasa dengan mengubah mentaliti diri dan seterusnya beriltizam tinggi untuk membawa ummah kepada mardatillah.

syazwi
Dewan Perwakilan Shibin el-Kom (DPMS),
Menoufia, Egypt Baca Seterusnya...