Miliki ARMA

Miliki ARMA

TAAKHI SHIBIN-TANTA DIJALIN

TANTA, 20 OKTOBER - Rombongan AJKT DPM Shibin El-Kom (DPMS) telah mengadakan satu perjalanan ke Tanta untuk menjayakan program bersama taakhi DPM Tanta (DPMT) bersempena Jaulah BP PMRAM ke serata muhafazah di seluruh Mesir. Seramai enam orang AJKT DPMS telah bertolak dari Shibin El-Kom dan tiba di Markaz DPMT kira-kira pada jam 6.00 petang.

Kedatangan rombongan yang diketuai Pengerusi DPMS ini telah disambut ceria oleh beberapa orang AJKT DPM Tanta. Sementara menunggu program bermula, rombongan sempat beristirehat sambil menjamu sedikit juadah dan beramah mesra dengan rakan-rakan di Tanta. Layanan dan perhatian yang baik daripada warga Tanta sememangnya suatu penghormatan bagi rombongan kecil ini.

Bermula jam 8.00 malam, Dewan Syeikh Mahmud Syaltut atau dikenali dengan Bait Izzah - nama bagi markaz DPMT - telah mulai bersedia menerima ketibaan tetamu agung yang dinantikan. Barisan BP dan HEWI PMRAM hadir memasuki dewan dengan disambut penuh meriah oleh hadirin yang hadir.

Program pada malam ini terbahagi kepada dua slot utama iaitu perasmian dan majlis ramah mesra bersama kepimpinan pusat PMRAM 2010. Pada slot pertama, tiga orang utama PMRAM telah menyampaikan ucapan masing-masing sebagai ucapan pembukaan dan alu-aluan. Mereka ialah Pengerusi DPMT, Pengerusi DPMS dan Presiden PMRAM.

Melalui kalam ucapan daripada kedua-dua Pengerusi DPM, terdapat persamaan yang dapat diperhatikan iaitu tema kesatuan ikatan sebagai taakhi. Kunjungan daripada DPMS ke Tanta dan keramahan layanan DPMT sebagai tuan rumah adalah suatu suasana yang sangat baik untuk menyuburkan kesatuan fikrah sebagaimana yang dianjurkan oleh PMRAM pusat.

Manakala dalam ucapan perasmian, Presiden PMRAM, Ust. Shahrizan Mohd Hazime juga telah menyentuh tentang hubungan baik antara cawangan PMRAM ini merupakan tanda komitmen PMRAM untuk menjaga kesatuan ahli di seluruh peringkat.

Pada slot kedua, majlis bertambah menarik dengan kendalian majlis oleh pimpinan PMRAM sendiri. Bermula dengan taaruf diri di kalangan BP dan HEWI PMRAM, majlis diteruskan dengan sesi soalan dan muhasabah daripada ahli yang hadir kepada kepimpinan PMRAM pusat. Ternyata, respons yang diberikan memuaskan namun kesempitan masa membataskan untuk lebih banyak persoalan untuk diajukan.

Majlis seterusnya beralih ke sesi pengumuman oleh barisan BP/HEWI PMRAM. Makluman dan nasihat yang diberikan merupakan buah tangan yang penting untuk dihadam bersama oleh ahli yang hadir. Terakhir, slot ini disudahi dengan penggulungan melalui amanat emas Presiden yang begitu jelas menerangkan wajah dan sikap PMRAM yang islamik dan berprinsip dalam mendepani isu-isu mahasiswa yang berlaku di bumi Mesir ini.

Dengan berakhirnya slot tersebut, majlis ditangguhkan dengan bacaan tasbih kaffarah dan surah Al-Asr. Hadirin yang hadir kemudiannya dihidangkan dengan juadah yang disediakan.

Satu Fikrah Satu Amal

Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah.

0 komentar: