Miliki ARMA

Miliki ARMA

KUNJUNGAN ISTIMEWA MANTAN PENGERUSI DPMS

SHIBIN EL-KOM, 9 DISEMBER– DPM Shibin El-Kom hari ini menerima kunjungan mesra seorang figur penting di Markaz Darul Irsyad. Figur tersebut ialah Ust. Mohd Radhi bin Ibrahim, mantan pengerusi DPMS bagi angkatan pertama pelajar Malaysia yang datang ke muhafazah Shibin El-Kom. Bersama beliau ialah Syeikh Maher, yang merupakan khatib di salah sebuah masjid utama di sini dan merupakan kawan sekuliah Ust. Mohd Radhi pada zaman pengajiannya.

Sempena kedatangan beliau ini, DPMS mengadakan satu majlis ringkas ramah mesra. Dalam majlis ini, ahli DPMS yang hadir sempat bertaaruf dan mendengar pengalaman daripada beliau. Dalam kesempatan ringkas ini, beliau ada membawa bersama buku yang baru beliau hasilkan yang bertajuk : ‘Pembangunan Insaniah Pelajar Muslim’.

Bertugas sebagai pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia ( USIM ), beliau datang ke Mesir kali ini, untuk mengisi beberapa seminar yang memerlukan perkongsian ilmu daripada beliau. Beliau sekarang bergelar Doktor Falsafah setelah berjaya menyempurnakan pengajian peringkat Ph.D di Universiti Edinburgh, Scotland. Pada masa awal kedatangannya di Mesir, beliau sememangnya telah aktif dalam memberikan pengisian berbentuk motivasi dan ilmiah di Kaherah dan serata muhafazah.

DPM Shibin El-Kom sebenarnya boleh berbangga dengan adanya figur seperti beliau yang pernah menimba ilmu dan pengalaman di Universiti Al-Azhar, cawangan Shibin El-Kom ini. Kecemerlangannya dalam menyempurnakan pengajian Usuluddin Aqidah dan Falsafah selama empat tahun, memang diketahui umum warga Shibin El-Kom.

DPMS mengucapkan terima kasih atas kesudian Ust. Mohd Radhi untuk bertamu di Shibin El-Kom dan menemui mahasiswa Melayu di sini. Sesungguhnya kehadiran beliau memberi aura tersendiri dalam menyuntik semangat belajar dan berpersatuan di kalangan mahasiswa yang menuntut ilmu di perantauan ini. Terima kasih sekali lagi.

0 komentar: