Miliki ARMA

Miliki ARMA

MALAM GEMA AIDILFITRI DI SHIBIN EL-KOM



SHIBIN EL-KOM, 1 Syawal – Majlis Malam Gema Aidilfitri anjuran UDPI DPMS sesi 2010/2011, telah diadakan bertempat di Dewan Syeikh Mustafa Al-Arusi , yang bermula sejurus selesai solat maghrib. Takbir raya dikumandangkan sebagai tanda kesyukuran setelah genap tiga puluh hari menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan.

Setelah solat Isyak berjemaah, takbir raya diteruskan lagi. Masing-masing yang hadir tidak melepaskan kesempatan untuk mengalunkan takbir, mengiringi kerinduan kepada tanah air dan keluarga yang jauh di mata. Dalam menghayati kedatangan Syawal yang mulia, sedikit perkongsian ilmu oleh UDPI telah dibincangkan bersama dalam persediaan menyambut Syawal dengan tuntuan -tuntutan ibadah yang dianjurkan.

Majlis kemudiannya beralih kepada sesi yang lebih rasmi iaitu penyampaian perutusan Aidilfitri daripada Presiden PMRAM sesi 2010. Sebelum perutusan itu dibacakan, Ketua Unit Dakwah dan Pembangunan Insan DPMS 2010/2011, Sdr. Ust. Nik Mohd Arif Zakaria, sempat untuk melontarkan sedikit kalam muqaddimah beliau bagi sesi kenaikan baru DPMS. Beliau menyeru para hadirin untuk setia mendampingi dan memberi komitmen terhadap aktiviti-aktiviti UDPI dan DPMS sepanjang sesi baru ini.

Dalam perutusan Aidilfitri yang dibacakan oleh Pengerusi DPMS, Ust. Mohd Redhuan Haji Arshad, beberapa perkara penting telah disentuh oleh yang berbahagia Presiden PMRAM. Antara lain, menyusuli berakhirnya Ramadhan al-Mubarak, Presiden menyeru para mahasiswa untuk menjadi hamba Rabbani, yang setia beribadah dalam skop waktu dan bidang yang tidak dibataskan. Beliau juga mengajak seluruh warga mahasiswa untuk menyatakan bantahan terhadap isu iklan televisyen di Malaysia yang miskin sensitiviti agama. Meletakkan Islam boleh digabungkan bersama-sama agama lain, adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima, walaupun sekadar iklan TV. Lebih parah lagi, iklan sedemikian yang ditayangkan di serata negara dibimbangi boleh mengelirukan pandangan awam terhadap imej Islam itu sendiri.

Kemeriahan majlis diteruskan dengan slot Ucapan Hari Raya dan pengumuman rumah terbuka. Dapat diperhatikan di sini, walaupun status ahli DPMS makin susut bilangannya, DPMS masih mampu untuk meraikan hari yang berbahagia ini bersama-sama komuniti mahasiswa Melayu di bumi Shibin El-Kom ini. Empat rumah terbuka akan diadakan termasuklah yang dianjurkan oleh DPMS sendiri iaitu pada hari Raya ketiga.

Sebelum majlis berakhir, masing-masing yang hadir sempat bersama-sama merakamkan memori malam raya dengan sesi bergambar. Setelah itu, hadirin yang hadir dijamukan dengan sedikit juadah yang disediakan.

0 komentar: