Miliki ARMA

Miliki ARMA

RAMADHAN BERLABUH SYAWAL MENJELMA


Dengan Nama Tuhan Yang Maha Mengasihani..

Sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah..

Ketika mana Ramadhan telah tiba di penghujungnya, kaum muslimin seluruh dunia mulai bersedia untuk menyambut bulan Syawal yang dinanti-nantikan. Ketika berada di penghujung ini, senyum dan tangis, gembira dan sayu, terukir di wajah-wajah insan muslim. Sedih meninggalkan Ramadhan, gembira dan syukur berjaya menyempurnakan sebuah kewajipan. Tahniah dan takziah!

Ramadhan yang penuh barakah itu punya nilai sejarah. Sejarah tulen yang tertulis dengan tinta emas – perjuangan Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.anhum dalam perang Badar al-Kubra. Perang yang mengajar umat selepasnya bahawa begitu getirnya perjuangan untuk menyampaikan risalah dakwah. Dan sekarang kamu wahai insan muslim dapat menikmati nikmat Iman dan Islam itu. Ayuh ikut berjuang, agar dua nikmat itu terus tersebar ke seluruh dunia..

Ramadhan yang penuh rahmat itu punya nilai ibadah yang tinggi. Satu-satunya bulan yang difardhukan puasa buat umat Sayyidina Muhammad. Satu-satunya bulan yang ada padanya solat sunat tarawih. Bulan yang sangat subur untuk didirikan amalan berqiamullail. Berada dalam bulan ini, umpama menyaksikan cahaya-cahaya langit turun menerangi bumi, mengisi jiwa-jiwa hamba dengan zuq ibadah. Ayuhlah wahai insan muslim, perbanyakkan amal sementara masih ada kesempatan..


Ramadhan yang penuh ganjaran itu punya kunci khazanah pahala yang tidak bernoktah. Suatu bulan yang penuh keajaiban – amalan sunat berpahala fardhu, amalan fadhu berpahala 70 ganda fardhu. Kelebihan beramal dalam bulan ini nyata sangat lumayan. Dari itu, usahakanlah untuk lebih rajin beribadah. Usahakanlah setiap amal bernilai ibadah. Ayuh wahai insan muslim, rebutlah peluang ini. Marilah bersama-sama teruskan sunnah Rasul, melakukan amal-amal Islami mencontohi gerak langkah Rasul - hingga Islam kembali berdaulat di atas muka bumi ini!

Dan sekarang Ramadhan itu, akan meninggalkan kita..

Daripada hadis riwayat Imam Bukhari, al-Baihaqi, al-Thabrani dan Ibnu Hibban menyebut, mafhumnya:
Suatu saat ketika Rasulullah menaiki mimbar, pada setiap kali menapaki anak tangga, Baginda menyebut amin. Lalu para Sahabat r.anhum hairan dan bertanya. Lantas Nabi s.a.w menjelaskan bahawa Baginda mengaminkan doa yang disebut oleh Jibril a.s. Salah satu doa yang diaminkan oleh Baginda s.a.w ialah “Celakalah dia yang melalui Ramadhan yang diberkati tanpa memperoleh keampunan.”Minta dijauhkan. Ayuh wahai insan muslim, bermuhasabahlah. Taati perintahNya dan sucikan diri dengan taubat – tiada pilihan lain.

Akhirnya, diucapkan selamat menyambut Syawal dengan azam baru. Semoga bertemu lagi Ramadhan akan datang. Jadilah kamu insan Rabbaniyyun, bukan Ramadhaniyyun. Ketahuilah bahawa jika kamu menyembah (beribadah kerana) Ramadhan, Ramadhan itu pasti pergi. Tetapi jika kamu menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu tetap hidup tidak mati selama-lamanya. Semoga Tuhan menerima amal kita semua, amin..

Sumber rujukan : Kitab Fadhail A’mal-Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi,Kitab Fiqh Sirah –Syeikh Said Ramadhan al-Bouti(Terjemahan) –Disediakan oleh UDPI DPMS 10/11

0 komentar: