Miliki ARMA

Miliki ARMA

KAMSIS dan Kunjungan UBS PMRAM

22hb Julai, Shibin El-Kom – Bertempat di Markaz Darul Irsyad, sebahagian mahasiswa DPMS telah mula memenuhi Dewan Syeikh Mustafa Al-Arusi sejurus selepas maghrib bagi memulai rutin mingguan membaca Yasin dan tahlil, setiap tiba malam Jumaat. Bacaan madeh memuji Nabi S.A.W turut dialunkan sebelum majlis dimulakan. KAMSIS kelolaan USR, merupakan satu bentuk pengisian yang baik untuk membiasakan diri para mahasiswa di sini dengan kebiasaan amalan rutin masyarakat di tanah air, iaitu tahlil dan bacaan Yasin. Dengan kerjasama Unit MAMPAT ( Mahasiswa Tahun Empat ) yang dikendalikan UDPI, pengisian slot KAMSIS banyak diberikan kepada pelajar tahun akhir sebagai satu ruang dan peluang untuk mereka menilai keupayaan diri sebelum pulang ke Malaysia. Kemampuan mengendalikan rutin seumpama itu adalah sebenarnya asas yang perlu diperkemas sebaik-baiknya, agar mutu keluaran al-Azhar tidak mudah untuk dipandang sebelah mata oleh masyarakat.
Malam Jumaat kali ini juga menjadi agak berbeza daripada yang sebelumnya. Orang nombor satu DPMS, Ust. Muhammad Faizal bin Abdullah iaitu selaku Pengerusi DPMS akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat ini. Pemangkuan telah diumumkan dan penyandangnya ialah Timbalan Pengerusi, Ust. Mohd Redhuan bin Arshad. ( AJKT-AJKT yang pulang dan pemangkunya akan diumumkan dalam post berasingan ). Kepulangan beliau sememangnya pada asalnya dirancang selepas berakhirnya MAT nanti. Pun begitu, segala urusan yang berkaitan DPMS telah dibincangkan dengan teliti pada mesyuarat AJKT lepas, agar pelepasan beliau ini , tidak membebankan AJKT yang akan bersedia menghadapi MAT yang makin hampir.
Pada malam ini juga, DPMS menerima kunjungan wakil Unit Biah Solehah ( UBS ) PMRAM, Ust. Al-Hasyir dan Ust. Rahman yang datang untuk membuat bancian. Hadirin yang ada, diberikan borang yang melibatkan kajian dan muhasabah. Tidak dapat dinafikan, peranan unit seperti ini, sangat diperlukan pada waktu ini memandangkan cabaran yang dihadapi mahasiswa kini lebih pelbagai dan merisaukan. Nafsu dan akal saling ingin menempati diri seseorang. Seandainya faktor yang memenangkan nafsu tidak diwaspadai dan faktor yang mendorong kekuatan akal diabaikan, maka gejala-gejala yang merosakkan akan mengambil tempat. Kewujudan UBS merupakan suatu natijah daripada rasa tanggungjawab seorang muslim kepada saudara muslimnya, untuk melihat semua umat ini berjalan di atas landasan redha Tuhan yang Maha Pencipta.

0 komentar: